SEMPORNA: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan menghubungi rakan pemimpin di Sarawak sekiranya parti itu memenangi lebih 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“(Hubungi) rakan saya pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS)… bukan formal, cuma kita berhubung (bincang) apa yang kita nak perjuangkan, (berkaitan) kedua-dua wilayah ini, (agar) kedudukan dan hak mereka dapat ditunaikan, bukan jawatan menjadi tuntutan.

“.. kalau perjanjian (Perjanjian Malaysia – MA63) dapat ditunaikan imbuhannya, berjuta rakyat merasa nikmatnya, itu pertimbangan yang harus dilakukan, bukan ikut pertimbangan nafsu, ini kepentingan negara,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Bubul di sini hari ini.

Beliau berkata langkah membangkitkan suara Sabah dan Sarawak tidak bererti kedua-dua wilayah itu tidak menyayangi Malaysia, sebaliknya rasa sayang kepada negara itu masih kuat kerana penyatuan itu mampu mengukuhkan Malaysia untuk menempuhi pelbagai cabaran selepas ini.

“Usaha kita memastikan kestabilan negara dan ekonomi, kita sayang negara Malaysia tetapi keadaan politiknya, keadaan ekonominya cukup membimbangkan kita… bila ada penyatuan umat, saya yakin masalah ekonomi itu boleh diatasi,” katanya.

Sementara itu Mohd Shafie berkata Warisan menghormati apa sahaja keputusan PRU-15 walaupun mungkin tidak memihak kepada parti itu nanti, kerana ia adalah keputusan daripada rakyat yang wajar dihormati semua pihak. – Bernama

Suara Sarawak