KUCHING: Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin menggesa Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen mendapatkan peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk membantu melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan skim penempatan semula Stampin.

Katanya, memandangkan projek ini berada di bawah senarai bersama, maka ia menjadi tanggungjawab kedua-dua kerajaan — kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ini.

“Kita sekarang di bawah kerajaan perpaduan, dan projek ini di bawah senarai bersama…  Jadi saya harap Chong dapat mendorong kerajaan persekutuan, untuk memperuntukkan dana separuh daripada jumlah keseluruhan projek itu (RM350 juta).

Adun Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin bercakap dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

“Saya gesa Ahli Parlimen Stampin untuk mendapatkan RM175 juta dari kerajaan persekutuan kerana Kota Sentosa ini adalah sebahagian daripada kawasannya dan beliau juga pernah menjadi Adun di Kota Sentosa selama tiga penggal,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dengan bantuan peruntukan daripada kerajaan persekutuan ini kata Wilfred, ia akan dapat meringankan beban kewangan negeri sekali gus membolehkan wang itu digunakan bagi membangunkan kawasan lain yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

Dalam masa yang sama, Wilfred turut menafikan kenyataan Michael Kong Feng Nian, pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang melabelkan beliau bersikap defensif terhadap isu pemasangan kipas elektrik di pasar Batu 7.

Tegasnya, beliau juga sedang berusaha untuk menyelesaikan semua masalah di Kota Sentosa secara sistematik dan holistik dan terdapat beberapa projek yang akan dilaksanakan bagi menaik taraf Pasar Batu 7 di bawah Senarai kuantiti (Bill of Quantity).

Antaranya adalah membaiki dan menaik taraf semula pasar Kota Sentosa dengan memasang kipas angin, menambah penutup longkang, menambah soket di pasar dan sebagainya.

“MPP akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf.  Pada masa ini, MPP sedang mengeluarkan BQ (Senarai kuantiti), spesifikasi dan lukisan.  Saya telah menegaskan bahawa tambahan kipas elektrik mesti dimasukkan dalam spesifikasi projek itu,” katanya.

“Justeru saya berharap orang ramai dapat memberi sedikit masa kepada saya.  Beri saya sedikit masa (kelonggaran) untuk menyelesaikan semua masalah di Kota Sentosa dan mendapatkan peruntukan yang diperlukan,” katanya.

Suara Sarawak