LUBOK ANTU: Bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyallau Badak mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB), seterusnya menyatakan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam kenyataannya hari ini, Nyallau memberitahu surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PSB, serta satu salinan dimajukan kepada Presiden Datuk Seri Wong Soon Koh.

Kata Nyallau, keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) jelas membuktikan perpaduan rakyat negeri ini sangat penting.

“Sarawak hanya kuat apabila rakyatnya bersatu. Kita tidak seharusnya berpecah-belah dan mesti terus bersatu.

“Di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg, bersama-sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, GPS telah membangunkan Sarawak dengan baik untuk kepentingan rakyatnya.

“Oleh itu, saya ingin menekankan semula bahawa ‘perpaduan adalah kekuatan. Justeru, saya memutuskan untuk keluar daripada PSB untuk menyokong GPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nyallau turut menyeru semua untuk bersama-sama memperjuangkan hak negeri ini, terutamanya dalam menuntut semula hak rakyat demi menggerakkan Sarawak ke depan yang lebih cerah.

“Saya berharap agar rakyat dapat bersatu dan menyokong penuh serta mengundi GPS pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Pada PRU-15, GPS di kerusi Parlimen Lubok Antu diwakili oleh Roy Angau Gingkoi.

Sementara penyandang Tambat @ Jugah Muyang yang mewakili PN-Bersatu turut dicabar dua lagi lawan iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa (PSB) dan Langga Lias (PH).

Suara Sarawak