SIBURAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo Datuk Willie Mongin menang bergaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan memperoleh 13,338 undi majoriti.

Beliau mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU-14 dengan meraih 29,457 undi menewaskan dua pencabarnya.

Calon Pakatan Harapan (PH) Diog Dios memperoleh 16,119 undi sementara calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Akam memperoleh 5,578 undi.

Kemenangan beliau diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Puncak Borneo Ranum Bari pada jam 10.44 malam.

Ketika ditemui media, Willie menyampaikan penghargaan kepada seluruh jentera GPS dan pengundi Puncak Borneo.

Katanya, kemenangannya merupakan kerjasama yang utuh semua pihak dalam kalangan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dengan adanya kerjasama erat ini kita berjaya menempa kejayaan dan ini merupakan satu petanda yang baik.

“Sebab dengan kerjasama ini kita harus membawa agenda pembangunan rakyat dan terus memacu kegemilangan Puncak Borneo,” katanya.

Dalam pada itu, Willie berkata, persahabatan beliau dengan calon yang bertanding akan terus berkekalan.

“Kita ada perlawanan yang baik tapi kita kekal sebagai kawan.

“Tanpa keraguan, kita bertanding satu sama lain tetapi kita kekalkan semangat demokratik terus hidup di Malaysia,” ujarnya.

Dalam persaingan tiga penjuru di Puncak Borneo, sebanyak 51,154 undian oleh pemilih sementara sebanyak 640 kertas undi yang ditolak.

Sementara, sebanyak 255 kertas undi tidak dikembalikan manakala peratusan pengundian adalah 65.09 peratus.

Pada PRU-14, Willie bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) meraih 18,865 undi dengan majoriti 4,005 undi dalam saingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Genot Sinel @ Jeannoth Sinel yang merperoleh 14,860 undi sementara calon STAR Buln Ribos mendapat 795 undi.

Suara Sarawak