INISIATIF dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan ekonomi negeri dan taraf hidup rakyat.

Felo Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata, perancangan tersebut menunjukkan Kerajaan Sarawak memperakui keperluan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Di samping itu, katanya, ia juga memberi sokongan kepada masyarakat yang terjejas serta memulihkan sektor ekonomi yang teruk terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Memelihara dan mencipta pekerjaan yang baik untuk rakyat Sarawak, khususnya belia adalah keutamaan kritikal dalam perancangan itu.

“Jelas sekali, negeri ini menggunakan kemelesetan disebabkan Covid-19 untuk melatih semula dan mempersiapkan tenaga kerja untuk masa hadapan,” katanya.

Madeline berkata, dalam jangka masa pendek, Sarawak akan menumpukan peningkatan kemahiran secara pantas untuk memulihkan ekonomi dan memasukkan pekerjaan berpendapatan tinggi, kemahiran yang penting untuk mewujudkan momentum mencipta peluang pekerjaan yang mampan.

Untuk jangka masa panjang, negeri ini perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran dan melatih semula kemahiran bagi membolehkan individu beralih kepada kerjaya yang sejajar dengan trend kemahiran masa depan.

Selain harus memberi tumpuan kepada kecelikan digital dan kemahiran sosial serta emosi untuk pekerja kekal relevan dalam pasaran buruh yang lebih dinamik dan digital.

Suara Sarawak