Penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mewujudkan dana khas untuk kaum Dayak Sarawak dalam Belanjawan Malaysia 2023.

Penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang berkata Anwar perlu melakar sejarah dengan menjadi Perdana Menteri yang pertama menyediakan dana itu.

“Mungkin pemimpin politik Dayak dari Sarawak berat mulut atas pelbagai sebab dan alasan, biarlah kami pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak bersuara bagi kaum dari Pulau Borneo yang masih ketinggalan jauh dari segi pembangunan fizikal dan modal insan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah dana itu juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada tuntutan daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang dalam perbincangan kerajaan sekarang untuk pelaksanaan.

“Apa yang membimbangkan, besar kemungkinan kalau kita tidak uruskan dengan baik, ia akan memperluaskan jurang sedia ada.

“Kami berharap tidak akan tertinggal ataupun terlepas dari pandangan kerajaan dalam dalam usaha memenuhi MA63,” katanya.

Menurut Wellie, sejak dahulu agihan belanjawan kerajaan persekutuan telah memperuntukka dana khas untuk pelbagai kaum termasuk Orang Asli, India dan Cina.

Namun, katanya bagi kaum Dayak keadaannya amat mengecewakan apabila tidak pernah ada dana diagihkan kepada kaum Dayak di Sarawak, menjadikan kewujudan komuniti itu yang telah bersama-sama dalam pembentukan Malaysia seolah-olah terus terpinggir.

“Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi peruntukan agihan kepada kaum di Malaysia.

“Kita tak boleh ada kaum yang ketinggalan dari segi agihan peruntukan kerana ungkapan ‘kemakmuran bersama’ yang sentiasa disebut, perlu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Suara Sarawak