KUCHING: Sarawak perlu mewujudkan ekosistem yang ideal sebagai usaha menjadi destinasi utama kepada industri semikonduktor dan penyedia penyelesaian bagi teknologi semikonduktor di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, disebabkan itu Kerajaan Sarawak bekerjasama rapat dengan industri berkaitan dan pihak berkepentingan.

Katanya, ia sebagai usaha agar pihak berkaitan komited kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dengan menyepadukan teknologi 4.0 industri utama ke dalam operasi pembuatan dan rantaian bekalan mereka.

“Ia juga bertujuan meningkatkan pertumbuhan produktiviti buruh, meningkatkan kapasiti inovasi, mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan tempatan ekosistem industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Semikonduktor Reka Bentuk Mikroelektronik Sarawak (SMD) baharu di Kampung Digital Tegas di sini, hari ini.

Sementara itu Abang Johari turut mengalu-alukan usaha Melexis Teknologi NV, Belgium untuk bekerjasama dengan institusi teknikal dan universiti di Sarawak bagi membentuk kurikulum baharu dalam semikonduktor kepada siswazah dan lepasan ijazah serta pensijilan industri.

Usaha tersebut katanya, membolehkan graduan muda memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk menjadi profesional dalam bidang semikonduktor.

“Platform akademik industri juga boleh menggalakkan kerjasama penyelidikan yang dipacu industri dalam bidang yang berkaitan dengan industri semikonduktor,” katanya.

Suara Sarawak