KUCHING: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana miliki senjata berbahaya di tempat awam dan memasuki Malaysia tanpa permit yang sah semasa ditahan dalam program Regatta Perahu Naga Antarabangsa Sarawak 2022, Ahad lalu.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap Denly, 23, warga Indonesia selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki senjata berbahaya seunit buku lima di tempat awam tanpa tujuan yang sah.

Buku lima: tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen 3 selepas dijatuhi hukuman

Dia melakukan perbuatan itu di Jambatan Darul Hana di sini, sekitar jam 4.30 petang, 30 Oktober lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat.

Sementara itu, dia turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen lain, kerana tidak memiliki permit yang sah masuk ke negara ini.

Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) kanun yang sama.

Bagaimanapun, Mahkamah menetapkan kedua-dua hukuman bagi kedua-dua pertuduhan berjalan dengan serentak.

Oleh itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap 30 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis yang merupakan petugas Kawalan Khas Keselamatan Sarawak International Dragon Boat telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki(tertuduh).

Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada orang awam yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak mempunyai passport serta telah memiliki seunit buku lima tembaga tanpa alasan munasabah di tempat awam.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang Timbalan Pendakwa Raya iaitu Danial Mohamad Ali dan Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Suara Sarawak