KEKAL BERSAMA KUCHING…Abu Kamara (kiri) dan Yuki Tanigawa (kanan).

KUCHING: Dua bintang import, Abu Kamara (penyerang/Liberia) dan Yuki Tanigawa (pertahanan/Jepun) antara yang masih kekal bersama The City Boys bagi menghadapi saingan Liga Super 2023.

Perkara tersebut disahkan oleh ketua jurulatih, Irfan Bati Abu Salim, hari ini.

Berbanding dua lagi pemain iaitu Gabriel Monteiro de Andrade (penyerang/Brazil) yang digugurkan selain Aylton Ferriera Ananias (pertahanan/Brazil) masih dalam pertimbangan.

“Hanya Yuki Tanigawa dan Abu Kamara kita kekalkan untuk menghadapi saingan musim depan,” ujar Irfan.

Menurut Irfan, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan selepas mengambil kira prestasi semasa pemain terbabit.

Irfan bagaimanapun mengakui, pihaknya kini dalam proses mendapatkan khidmat tiga lagi import baharu bagi menambah sengat kem Kuching City dalam kancah Liga Super nanti.

“Tiga pemain import baharu itu sudah dikenal pasti dari negara berbeza,” tambah Irfan lagi.’

Suara Sarawak