MENGIRINGI… Yusuf diiringi Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol, dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh serta penyokong GPS ke pusat penamaan calon. – Foto Ikhsan UKAS

TANJONG MANIS: Pembangunan untuk rakyat akan diteruskan, itu antara agenda utama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ir Yusuf Abd Wahab jika sekali lagi diberi mandat mewakili kawasan Parlimen Tanjong Manis.

Menurut beliau, masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan penduduk di kawasan Tanjong Manis tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Antaranya ialah pembinaan jalan raya, sistem telekomunikasi, bekalan air bersih dan lain-lain lagi. Projek-projek ini amat diperlukan oleh rakyat terutama di kawasan yang jauh di pedalaman Tanjong Manis,” katanya ketika ditemui sejurus selesai penamaan calon di Dewan IKS Tanjong Manis, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan GPS komited meneruskan agenda pembangunan di kawasan berkenaan melalui pelaksanaan pelbagai projek rakyat.

Selain projek kecil katanya, tumpuan juga untuk projek mega seperti pembinaan Jambatan Batang Lassa, Batang Paloh dan jalan pintas Sarikei ke Tanjong Manis yang kini sedang rancak berjalan.

“Sebahagian projek ini dijangka siap tidak lama lagi. Justeru, kemenangan besar GPS di kawasan Tanjong Manis sangat penting untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang kerana kita tahu, masih ramai rakyat khususnya di kawasan saya memerlukannya,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meneruskan kesinambungan projek demi manfaat segenap lapisan rakyat.

Yusuf menghadapi persaingan dua penjurus menentang Zainab Suhaili, 53, yang bertanding di atas tiket Parti Amanah Negara (PAN).

Ketibaan beliau di pusat penamaan calon di dewan IKS Tanjong Manis diiringi lebih seribu penyokong GPS.

Turut, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas) Datuk Abdullah Saidol, dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Suara Sarawak