Ir Yusuf menyantuni rakyat di sekitar Belawai dan Tanjong Manis.

SARIKEI: Sikap mesra dan mudah didampingi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab amat disenangi oleh penduduk sepanjang kempen beliau di kawasan berkenaan.

Dalam kempen hari ini, beliau meluang masa menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Pulau Bruit sebelum menyempurnakan Majlis Perasmian Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako dan Program Jelajah Keusahawanan Industri Pembinaan CIDB 2022 di Kampung Penibong.

Beliau turut berkesempatan menyerahkan tapak projek RTP ADUN selain bertemu rakyat di Penuai dan Sebayang.

Dalam kempen beliau sebelum ini, kehadiran Yusuf disambut meriah oleh penduduk dan rata-ratanya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Saya seorang yang sangat ringkas dan mudah didekati. Sesiapa sahaja boleh menegur jika berjumpa saya di mana-mana sekali pun,” katanya.

Yusuf berkata, sepanjang berkempen penduduk memberikan respon yang amat positif.

Berkempen di Tanjung Manis ujarnya, menuntut kesabaran di samping ketahanan fizikal dan emosi.

Namun begitu katanya, rasa penat hilang dengan sendirinya sebaik sahaja bertemu rakyat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Sehubungan itu, kita berharap penduduk beramai-ramai turun mengundi dan memberikan sokongan padu kepada saya sebagai calon GPS.

“Kemenangan amat penting bagi membolehkan kita meneruskan agenda pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Ir Yusuf menyantuni rakyat di sekitar Belawai dan Tanjong Manis.

Suara Sarawak