KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) menafikan pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada sebarang rundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud adanya persefahaman penubuhan kerajaan bersama gabungan tersebut.

“Dalam pada itu, kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah menandatangani aku janji dan memberikan mandat kepada saya selaku Presiden (Umno) untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Sehubungan itu, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sebelum ini Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata mereka bersetuju membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN, BN, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, keputusan membentuk kerajaan campuran itu dibuat demi mengukuhkan dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, GPS juga bersetuju Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau mempunyai sokongan yang mencukupi daripada parti dan beberapa Ahli Parlimen untuk membolehkan dirinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Katanya, keyakinan itu diperoleh susulan pertemuannya dengan Abang Johari dan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor pagi tadi.

Beliau mendedahkan, kedua-dua pemimpin itu serta beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain telah memberi komitmen untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Suara Sarawak