KUCHING: Sarawak merekodkan 14 kes rabies atau anjing gila dalam kalangan manusia, termasuk 11 kes kematian setakat semalam (6 Disember).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKN) Dr Ooi Choo Huck berkata, terbaru, pihaknya menerima satu laporan kes rabies pada 5 Disember lalu membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.

Lelaki itu katanya disahkan dijangkiti rabies melalui ujian makmal dan didiagnosa sebagai rabies encephalitis.

“Mangsa mengalami gejala jangkitan rabies bermula 26 November lalu dan mendapatkan rawatan di Klinik kesihatan pada 1 Disember apabila gejala bertambah teruk termasuk kesukaran menelan makanan dan minuman.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan meninggal dunia kelmarin (5 Disember) pada jam 11.41 pagi di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ooi berkata, mangsa dilaporkan tidak mempunyai sejarah digigit atau dicakar anjing, namun pernah mengendalikan bangkai anjing pada Oktober lalu.

Bagaimanapun katanya, status rabies haiwan terbabit tidak dapat dipastikan.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendedahkan aktiviti survelan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak mendapati banyak anjing yang positif rabies.

“Justeru, JKN Sarawak ingin menasihati orang ramai supaya segera melaporkan kepada JPV Sarawak sekiranya terdapat haiwan peliharaan mereka yang berubah tingkah laku sama ada menjadi ganas atau muram.

“Jangan sesekali cuba menangkap atau menyentuh atau membunuh haiwan itu, tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar, sama ada yang hidup atau yang sudah mati,” katanya.

Jelasnya, pemilik juga perlu memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun.

Suara Sarawak