KUCHING: Seramai 1,207 mangsa banjir dan tanah runtuh kini ditempatkan ke 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) aktif di seluruh Sarawak, setakat jam 12 tengah hari tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak mengesahkan, bahagian Kuching mencatat jumlah mangsa tertinggi seramai 445 mangsa, diikuti 413 orang di bahagian Samarahan.

Manakala, bahagian Serian mencatat seramai 222 mangsa termasuk 57 merupakan mangsa tanah runtuh.

RAMAI…Suasana mangsa-mangsa banjir di PPS Dewan Rimba Padi

Sementara itu, Betong merekodkan 127 mangsa daripada dua buah PPS yang telah diaktifkan, masing-masing di Dewan SMK Kalaka Roban dan Dewan Millennia Debak.

“Di Kuching, PPS SK Beradek mencatat seramai 342 mangsa, Dewan Kampung Bedaun (86), Dewan Kamarudin Kampung Segedup Lot (tujuh) dan SRB Chung Hua Sejijak (10).

“Empat PPS Samarahan aktif telah dibuka di Dewan Suarah Kota Samarahan, SK Kampung Baru, Dewan Kampung Melayu dan SK Endap melibatkan 189 mangsa, diikuti PPS Dewan Masyarakat Lubok Buntin daerah Gedong (28), Masjid Kampung Seruyuk Sebuyau (163) dan SMK Simunjan No 1 (33).

BERATUR… Mangsa-mangsa banjir di PPS Betong beratur

“Serian merangkumi Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi, Balai Raya Betong Kanowit, Dewan Kampung Kerumboi, dan Dewan Kampung Lintang Baru seramai 165 orang, manakala mangsa tanah runtuh di PPS Kampung Koran Mawang seramai 57 orang mangsa.

“PPS Dewan SMK Kalaka Roban dan Dewan Millennia Debak masing-masing mencatat mangsa seramai 112 dan 15 orang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, dua PPS di bahagian Kuching iaitu Balai Raya Kampung Opar Bau dan Balai Raya Kampung Jugan Bau ditutup hari ini.

Suara Sarawak