KUCHING: Jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak meningkat kepada 1,410 orang setakat jam 7 malam ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak mengesahkan, tiga lokasi PPS iaitu dua di Betong dan satu di daerah Simunjan merekodkan peningkatan dari segi jumlah mangsa dipindahkan.

“PPS SMK No 1 Simunjan menunjukkan peningkatan mangsa kepada 40 orang.

INFO…Infografik jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh di Sarawak setakat jam 7 malam.

“Dua PPS di Betong turut menunjukkan peningkatan kepada seramai 122 orang, manakala PPS Dewan Millennia Debak mencatat seramai 114 orang mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, ujarnya sebuah lagi PPS bahagian Samarahan iaitu PPS SK Endap telah ditutup.

“Jumlah bagi keseluruhan mangsa setakat jam 7 malam di 20 PPS aktif yang dibuka mencatat seramai 1,410 orang.

“Bahagian Kuching kekal rekod tertinggi dengan seramai 445 mangsa banjir, diikuti Samarahan seramai 420,” katanya.

Serian pula katanya, kekal mencatat seramai 222 mangsa termasuk 57 daripadanya merupakan mangsa tanah runtuh.

“Betong turut menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 236 orang,” tambahnya.

Suara Sarawak