KUCHING: Sebanyak 17 rondaan pemantauan meliputi 34 lokasi seluruh Sarawak dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPMS) setakat jam 8 pagi, hari ini.

Jurucakapnya berkata, kesemua kawasan terbabit antara lokasi dikenal pasti berisiko banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).

“Kesemua 17 kawasan pemantauan merangkumi dua lokasi di Zon 1 Kuching, tiga di Zon 2 (Samarahan), tujuh Zon 4 (Sibu), Zon 5 (Bintulu) dua lokasi, Zon 6 (Miri) satu, dan satu di Zon 7 (Limbang),” katanya dalam satu kenyataan.

Info grafik menunjukkan lokasi berisiko banjir di seluruh Sarawak.

Menurutnya, kawasan berisiko banjir di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, Bintulu, Lundu, Kapit, Serian, Asajaya, Daro, Sibu Jaya, Bintangor, Limbang, Serian, Miri Sentral, dan Sri Aman.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu mengesahkan tiga kes melibatkan pokok tumbang dalam operasi pemantauan sama.

Ketiga-tiga kes itu masing-masing satu di Kuching, Zon 2 (Samarahan) dan Zon 6 (Miri).

Kenyataan itu menambah, dalam tempoh sama tiada operasi pemindahan mangsa dan bencana tanah runtuh berlaku.

Suara Sarawak