TERLIBAT…Peserta yang mengikuti kursus tersebut.

KUCHING: Persatuan Pickleball Malaysia (MPA) baru-baru ini telah mengadakan Kursus Pengajar Pickleball Bertauliah MPA Peringkat 1 bertempat di Dewan Badminton Persatuan Gereja.

Seramai 18 peserta dari Kuching menghadiri sesi yang dikendalikan oleh Presiden MPA Farrell Choo.

Sepanjang bengkel tersebut berlangsung, peserta diberi tunjuk ajar berkaitan teknik yang betul bagi permainan sukan berkenaan.

Pickleball ialah sukan berimpak rendah yang boleh dimainkan oleh lebih ramai orang.

Ia boleh dimainkan dalam dewan atau di kawasan padang.

Pickleball merupakan satu sukan yang boleh dimainkan untuk semua peringkat umur.

Sukan berkenaan menggabungkan beberapa jenis sukan lain seperti badminton, tenis dan ping pong.

Ia dicipta pada tahun 1965 di Amerika Syarikat dan di Malaysia ia telah bermula pada tahun 2019.

Sukan ini juga sudah mula dimainkan di Sarawak, Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Penang dan Pahang.

Kini terdapat 1,000 pemain termasuk pelajar yang telah diperkenalkan dengan sukan ini.

Persekutuan Asia Pickleball (AFP) dan Persekutuan Antarabangsa Pickleball (IFP) juga sedang berusaha untuk memasukkan Pickleball dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik dalam masa terdekat.

Di Kuching, kini terdapat 3 pasukan Pickleball dengan kira-kira 50 pemain aktif bersukan.

Bilangan itu dijangka meningkat kerana lebih banyak tempat dan bengkel diadakan untuk mempromosikan lagi sukan Pickleball.

Untuk maklumat lanjut tentang Pickleball dan cara untuk bermula sila hubungi Ahmad Rodzli (0138443044) / Leslie (0198171567) atau layari www.facebook.com/malaysiapickleball.

Suara Sarawak