BERCAKAP…Setiausaha Agung RISEAP, Datuk Mohamad Marzuki Mohamad Omar FOTO: RAMIDI SUBARI

KUCHING: 20 buah negara seluruh dunia bakal berkampung di bandaraya Kuching yang akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) ke-19 bermula 1 hingga 5 Januari 2023.

Antara wakil delegasi negara luar terlibat merangkumi Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Macau, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Vietnam, Kambodia, Thailand, Myanmar, Maldives, Sri Lanka, Australia, New Zealand, Fiji, dan Vanuatu.

Setiausaha Agung RISEAP Datuk Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, kira-kira 100 delegasi serta 300 jemputan dijangka hadir memeriahkan majlis pembukaan program di Hotel Riverside Majestic.

Menurutnya, upacara pembukaan dijangka dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sekali gus merasmikan program antarabangsa terbabit.

Katanya, antara objektif utama yang akan ditekankan menjelang perhimpunan kali ini adalah usaha sama memastikan platform media sosial terhadap golongan generasi muda.

“Kita melihat anak-anak muda sekarang ramai yang terdedah dengan platform media sosial termasuk Instagram, Facebook, Tiktok, Twitter dan sebagainya.

“Jadi kita harus bersedia cara berdakwah kepada anak-anak muda menerusi platform sedemikian,” katanya dalam sidang media berkenaan program di Hotel Riverside Majestic, hari ini.

Selain itu, antara objektif lain RISEAP adalah untuk memupuk perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pertubuhan Islam negara bersama-sama negara-negara berbeza di rantau ini.

Suara Sarawak