KUCHING: Tahun 2023 dijangka menjadi satu lagi tempoh masa yang menarik dan cerah bagi rakyat Sarawak, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) berkata, Sarawak akan menyambut ulang tahun ke-60 negeri ini merdeka dalam Malaysia.

“Sambutan ini juga akan dikenali sebagai ‘Hari Sarawak 2023’ dan saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi sedikit mengenai sambutan yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

“Dengan kerjasama antara pihak kementerian, sambutan dan perayaan yang dirancang akan menjadikan tahun 2023 lebih meriah dan bermakna.

“Sebagai rakyat Sarawak, kita harus melihat sambutan ulang tahun ini sebagai landasan terbaik dalam menyemai semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bumi Kenyalang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu 2023 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Menyentuh berhubung sambutan ambang tahun baharu 2023, Karim berkata bahawa kejayaan penganjuran acara tahun ini membuktikan jalinan kerjasama erat dan kesepakatan antara kementerian dan rakan rakan strategik.

“Dalam menjayakan penganjuran sambutan tahun baharu ini, ia juga bertujuan untuk meraikan kejayaan serta pencapaian kita sepanjang tahun 2022.

“Justeru, majlis sambutan yang diadakan pada malam ini ditujukan khas kepada rakyat Sarawak yang sentiasa sabar dan tabah mendukung cita-cita murni kerajaan GPS yang sedia ada.

“Terima kasih kepada rakyat atas komitmen dan sokongan yang berterusan. Setiap lapisan masyarakat berperanan penting dalam memperoleh kejayaan sepanjang tahun 2022, dan bersama-sama kita akan turut mencapai perkara yang lebih hebat pada tahun depan,” tegasnya.

Suara Sarawak