KUCHING: Empat jalan utama di bandar raya Kuching akan ditutup sempena perarakan sembahyang keagamaan tahunan Dewa “Hiang Thian Siang Ti” yang akan diadakan pada Isnin, 26 Disember ini bermula jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ia termasuk Jalan Gambir menghala ke Jalan Main Bazaar, Jalan Main Bazaar menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Tun Abang Haji Openg menghala ke Padang Merdeka dan Jalan Khoo Hun Yeang menuju ke Jalan Market.

Menurutnya, perarakan keagamaan tersebut akan melibatkan 15 laluan jalan raya di sekitar bandar raya Kuching.

LOKASI…Infografik memaparkan lokasi penutupan jalan sempena perarakan sembahyang keagamaan tahunan Dewa Hiang Thian Shiang Ti.

“Bermula dari Jalan Carpenter, Jalan Wayang, Jalan Tabuan, Jalan Ban Hock, bulatan Sri Aman, Jalan Padungan, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Main Bazaar.

“Selain itu, Jalan Gambir, lebuh Market, Jalan Kho Hun Yeang, Jalan Barrack, Jalan Pearl, Jalan Tun Abang Haji Openg dan tamat di Jalan Carpenter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya,perarakan akan bermula kira-kira jam 4 30 petang dan dijangka tamat pada jam 11 malam di Kuil Hiang Thian Siang Ti.

Untuk itu, beliau menasihatkan agar orang awam supaya menggunakan laluan alternatif.

“Kenderaan yang melalui jalan Lebuh Wayang dari arah Jalan Ban Hock dinasihatkan bergerak terus ke Jalan Tunku Abdul Rahman atau melalui Jalan Wawasan untuk mengelakkan kesesakan.

“Manakala kenderaan dari arah Jalan Haji Taha dinasihatkan membuat pusingan ‘U’ di bulatan Masjid bahagian untuk mengelak kesesakan di lokasi penutupan Jalan Gambir,” jelasnya.

Suara Sarawak