BINTULU : Sarawak merekodkan sebanyak 52 kes kecurian elektrik membabitkan pelombong mata wang kripto, dengan kebanyakan insiden berlaku di hartanah yang disewa.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Sarawak Energy Berhad berkata, jumlah kes tertinggi dikesan di Kuching dengan 25 kes, diikuti Miri 22 kes manakala Sibu dan Bintulu masing-masing merekodkan tiga dan dua kes.

Dalam kes penemuan kecurian elektrik, kedua-dua pemilik hartanah dan penyewa akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti dalang kegiatan tersebut.

Sebahagian server yang dirampas dalam serbuan Sarawak Energy, Kementerian Utiliti dan Telekomukinasi Sarawak dan polis di dua premis sewa di Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau dan Jalan Melayu, Miri, baru- baru ini.

“Awal bulan ini, dalam operasi serbuan bersama Sarawak Energy, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta polis di Miri berjaya membongkar kes kecurian elektrik melibatkan pelombong mata wang kripto di dua rumah kedai yang disewa di Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau dan Jalan Melayu.

“Pasukan serbuan menemui 98 unit pelayan perlombongan mata wang kripto serta modem, alat elektronik dan kabel torehan langsung yang disambungkan terus dari sesalur masuk ke premis.

“Kesemua barangan tersebut telah disita sebagai bukti, manakala laporan polis turut dibuat bagi memulakan siasatan,”katanya.

Sebahagian server yang dirampas dalam serbuan Sarawak Energy, Kementerian Utiliti dan Telekomukinasi Sarawak dan polis di dua premis sewa di Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau dan Jalan Melayu, Miri, baru- baru ini.

Menurut kenyataan media itu lagi, susulan kegiatan di kedua- dua premis berkenaan,Sarawak Energy mengalami anggaran kerugian RM21,600.

Dalam pada itu, kata SEB, sindiket melombong mata wang kripto dengan mencuru elaktrik tanpa mematuhi standard boleh mengundang kepada kebakaran.

Ini kerana ia boleh menyebabkan kapasiti sistem elektrik terbeban, meningkatkan risiko litar pintas, kerosakan harta benda, kebakaran dan kehilangan nyawa.

“Kegiatan melombong mata wang kripto memakan banyak tenaga elektrik kerana ia berjalan tanpa henti dan memerlukan unit penyejukan untuk mengelakkan computer pelayan dari terlalu panas.

Sementara kecurian elektrik merupakan kesalahan jeneyah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Justeru, orang ramai dinasihati agar melaporkan aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian elektrik dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talianm 1300-88-3111 atau email kepada customercare@sarawakenergy.com.

Suara Sarawak