BERCAKAP…Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Sebanyak 58,606 lot individu melibatkan kawasan seluas 183,301 ekar telah mendapat dan akan menerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri direkodkan sehingga 31 November 2022.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, usaha sejak tahun 2017 itu dilaksanakan dengan menumpukan pengukuran lot-lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak.

Jelasnya, inisiatif baharu Program Pengukuran Tanah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bermula tahun 2010 lalu membantu memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif.

“Melalui inisiatif ini, seluas lebih kurang 1,060,811 hektar atau 2,621,264 ekar berjaya diukur secara perimeter.

“Seluas lebih kurang 813,587 hektar atau 2,010,373 ekar daripadanya telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, pewartaan bagi baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan.

Katanya bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR, penuntut digalakkan untuk hadir semasa pengukuran di lapangan dengan menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dalam mengelak pertikaian membuat tuntutan dan pengukuran lancar.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak komited memastikan kelangsungan program itu dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Suara Sarawak