Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika bercakap dalam sidang media hari ini. (Ramidi Subari)

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar sebuah Tabung Amanah (Trust Fund) ditubuhkan di Sarawak.

Beliau yang menyuarakan hasrat itu berkata perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan semalam (3 Disember) agar Sarawak mempunyai satu pendekatan yang baru dalam pentadbiran di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Katanya, penubuhan ini akan menjadikan dana daripada Semenanjung Malaysia dilihat semula dan diletakkan dibawah satu Tabung Amanah di Sarawak.

“Langkah ini bermaksud jika Sarawak diberi peruntukan daripada kerajaan pusat sebanyak RM4 billion untuk pembangunan negeri ini, maka RM4 billion itu akan diletakkan di bawah satu Tabung Amanah di Sarawak

“Justeru, Sarawak akan mempunyai satu pendekatan yang baru dalam pentadbiran di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Piala Abang Jo 2022, dan merasmikan Dewan Baru Badminton Persatuan Badminton Sarawak (SBA), di sini hari ini.

Abang Johari juga berharap pelaksanaan Trust Fund ini boleh ditentukan (diuruskan) di Sarawak sendiri di bawah kelolaan kementerian Kewangan Malaysia.

“Ini adalah satu pendekatan yang agak baik tetapi rangka kerja akan ditentukan oleh jawatankuasa di antara Kementerian Kewangan dan juga di bawah Perdana Menteri sendiri,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Pengerusi GPS itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah melantik lima Menteri Penuh dan seorang Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak.

Katanya ia sudah tentu menunjukan keprihatinan kerajaan persekutuan mengenai pembangunan politik di seluruh negara.

Suara Sarawak