BERPENGALAMAN…Abang Suhordie.

KUCHING: Tokoh korporat terkemuka dari Bahagian Betong, Abang Suhordie Abang Zaini, 52, sedia untuk memikul tanggungjawab sekali gus mengambil alih jawatan nombor satu (Presiden) dalam Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Itu pun, sekiranya diberi peluang serta mendapat sokongan daripada ahli gabungan seluruh bahagian.

“Bagi saya, tiada masalah untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dalam FAS jika diberi peluang serta mendapat sokongan daripada semua ahli gabungan,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) mengakui, pengalaman yang ada pada dirinya mampu menjadi penanda aras untuk mengemudi tampuk kepimpinan badan induk berkenaan.

Presiden FASnDatuk Posa Majais menyambut baik keinginan disuarakan Abang Suhordie itu.

“Saya menyambut baik keinginan beliau (Abang Suhordie) untuk memegang jawatan Presiden FAS,” jelas Posa.

Katanya, Abang Suhordie pernah menjadi antara salah seorang Naib Presiden FAS (2016-2018), selain pernah menjadi pengurus pasukan Belia Sarawak (2017/2018). Malah, merupakan Pengurus Sarawak United FC pada tahun 2021.

“Beliau seorang yang tegas dan cukup berpengalaman luas dalam dunia bola sepak, saya percaya dengan kredibiliti dimilikinya mampu menjadi penanda aras terbaik untuk beliau mengemudi FAS selepas ini,” tegas Posa sambil mengakui anak jati kelahiran Kampung Spaoh, Betong itu juga mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Suara Sarawak