KUCHING: Persatuan Gereja-Geraja di Sarawak (ACS) akan mengadakan Sembahyang Krismas 2022 di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian, Jalan Stampin di sini pada 15 Disember nanti, bermula jam 7.30 malam.

Setiausaha Agung Persatuan Gereja Di Sarawak, Elder Ambrose Linang berkata upacara itu adalah bertemakan “Orang yang Berjalan Dalam Kegelapan Telah Melihat Terang Yang Besar” (Yesaya 9:2).

Menurutnya, Uskup Agung Gereja Katolik Kuching selaku Pengerusi ACS, Simon Poh akan akan berkongsi refleksi mengenai tema tersebut.

Ambrose (tiga kiri), Simon (tengah) serta yang lain menunjukkan sepanduk mengenai Sembahyang Krismas 2022 di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian, Jalan Stampin di sini pada 15 Disember nanti, bermula jam 7.30 malam.

“Bacaan kitab suci dan doa akan dibuat dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Melanau, Bukar Sadong, Biatah dan Iban.

“Akan ada doa untuk orang yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, mereka yang menderita kesunyian, kekecewaan, untuk pendatang, pelarian, terlantar akibat peperangan dan konflik, untuk keluarga di seluruh dunia, perpaduan dan pendamaian, agar perpaduan Kristian bersatu dalam membawa sinar harapan kepada dunia dan untuk negara, kerajaan, keamanan dan kestabilan kita untuk menjaga rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Simon di Pusat Ibadah Ekumenikal Kristian di sini, hari ini.

Selain itu, Ambrose berkata gabungan koir yang diketuai oleh Stephen Chin akan mengetuai nyanyian lagu pilihan/ Carol Krismas semasa majlis tersebut.

Justeru, katanya semua ketua gereja diharap hadir termasuk semua penganut Kristian.

Turut dijemput wakil-wakil Kumpulan Antara Agama seperti Buddha, Hindu, Bahai dan Sikh.

“Kami merayu kepada semua penganut Kristian khususnya di bandar raya Kuching untuk bersama-sama bersatu dan memuji Tuhan dalam sebuah majlis yang menggembirakan ini untuk memperkaya alam rohani seseorang melalui doa dan lagu.

“Ia adalah masa untuk berdoa untuk negeri dan negara kita dan untuk semangat niat baik antara kaum dan budaya. Jangan biarkan polarisasi kaum dan ekstremisme agama memusnahkan struktur masyarakat kita,” katanya.

Ambrose menegaskan ACS sentiasa berusaha untuk mengukuhkan semangat kekitaan, perpaduan dan keamanan dalam kalangan seluruh rakyat Sarawak melalui banyak aktiviti yang dijalankan di semua bahagian kerana perpaduan dan kesepaduan sosial adalah tonggak kemajuan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Suara Sarawak