KUCHING: Wanita kelahiran Kuching, Siti Hurrairah Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Negara Shell Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Januari depan.

Pelantikan tersebut menjadikan beliau sebagai wanita pertama bergelar Pengerusi Negara bagi Shell Malaysia.

Siti menggantikan Datuk Ivan Tan, yang akan memegang jawatan Naib Eksekutif Presiden, Wells, untuk Kumpulan Shell berpangkalan di The Hague, Belanda.

SITI HURRAIRAH SULAIMAN

Sebagai Pengerusi Negara, Siti akan menyelia semua perniagaan Shell Malaysia, di samping peranannya sebagai Naib Presiden Kanan bagi perniagaan huluan di negara ini.

Anak kelahiran Kuching itu memulakan perjalanan bersama Shell sebagai pemegang biasiswa.

Lulusan Imperial College di London dengan ijazah kelas pertama dalam Kejuruteraan Mekanikal memulakan kerjaya sebagai Jurutera Operasi di Shell Malaysia (Upstream).

Pada awal kerjayanya, Siti mengambil peranan dalam pembangunan, perancangan, komersial dan strategi di United Kingdom dan Malaysia.

Pada 2011, beliau dilantik sebagai Pengurus Aset Malaysia wanita pertama dan Pengarah Sabah Shell Petroleum Company Limited, yang bertanggungjawab ke atas operasi minyak dan gas huluan Shell di Sabah.

Melangkah lebih jauh pada 2015, Siti berpindah ke London sebagai Pengurus Besar Operasi Komersial dalam perniagaan Perdagangan dan Pembekalan Shell, yang mana beliau bertanggungjawab dalam perkhidmatan komersial global untuk Kumpulan Shell.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden, Integrated Gas Ventures East, bagi memikul tanggungjawab ke atas pelbagai portfolio Shell Joint Ventures merentasi negara yang berbeza di Timur, sebelum mengambil alih peranan semasa beliau sebagai Naib Presiden Operasi Aset Teknikal.

Suara Sarawak