KUCHING: Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 yang diterima penyerang import Kuching City FC (KC FC), Abu Kamara pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK 2022) dianggap penanda aras terbaik buat penyerang berusia 25 tahun itu.

Sekali gus, mencetus semangat tambahan bagi pemain kelahiran Liberia untuk meneruskan kecemerlangan bersama The City Boys dalam mengharungi pentas saingan lebih kompetitif, Liga Super 2023.

“Gembira dengan penerimaan anugerah ini dan diharap ia akan memberi inspirasi untuk saya berusaha lebih bagi membantu pasukan KC FC selepas ini,” ujar beliau.

PENJARING TERBANYAK…Abu Kamara

Abu akui bukan mudah menggapai apa yang diperoleh beliau dalam berdepan situasi cukup mencabar pada setiap perlawanan dilalui sepanjang saingan musim ini.

Apa pun, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua terutama rakan sepasukan, jurulatih, pegawai serta pihak pengurusan KC FC.

Katanya, anugerah yang diperoleh adalah hasil sokongan yang diberi semua pihak terbabit.

Abu Kamara sepanjang kempen Liga Premier 2022 berjaya menjaringkan 11 gol dan membantu pasukannya berada di kedudukan ke-3 serta layak ke kancah Liga Super 2023.

Suara Sarawak