BERCAKAP…Karim (tengah) pada sidang media Kejohanan Piala Abg Jo yang akan bermula 2 sehingga 4 Disember 2022.

KUCHING: Lebih 100 pemain bawah 18 tahun akan berentap bagi merebut hadiah RM20,000 dalam kejohanan Piala Abg Jo di Dewan Persatuan Badminton Sarawak (SBA), di sini, bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha penganjuran kejohanan sebagai langkah penting meningkatkan pembangunan sukan badminton ke tahap yang lebih tinggi.

Sekali gus katanya, sebagai kesinambungan pihak kementerian bersama SBA dalam membangunkan sukan tersebut bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Usaha ini adalah untuk membawa sukan badminton ke peringkat yang lebih tinggi dan mendedahkan atlet junior untuk bersaing di peringkat Malaysia.

“Dari kejohanan ini, para atlet bakal mengetahui tahap kemampuan sebenar masing-masing,” katanya pada sidang media kejohanan terbabit di Bilik Jawatankuasa 1 Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Sarawak akan menampilkan lebih empat pasukan iaitu dua dari Kuching manakala satu masing-masing dari Miri dan Sibu.

Ditanya mengenai sasaran Sarawak dalam kejohanan ini, Karim mengakui ia lebih tertumpu kepada pembangunan bakat terhadap atlet-atlet muda untuk terdedah kepada pesaing-pesaing yang lebih mencabar.

Jelasnya, pembangunan badminton negeri ini kini lebih menyerlah melihat kepada rekod pencapaian baru-baru ini.

Kejohanan tersebut bakal menyaksikan aksi lelaki berpasukan menggunakan format Piala Thomas dengan menampilkan lima kategori berlainan.

Bagi kategori perseorangan merangkumi tiga kategori iaitu bawah 18 tahun, bawah 16 tahun dan bawah 14 tahun.

Manakala selebihnya merupakan kategori beregu iaitu beregu pertama bawah 18 tahun diikuti kategori beregu bawah 16 tahun.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sukan Datuk Gerald Rentap Jabu dan Setiausaha SBA Ting Ching Zung.

Suara Sarawak