Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 2 oleh anggota polis

KUCHING: Gara-gara membakar meter utama elektrik Sesco di sebuah bangunan flat Taman Sepakat Jaya, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Sylvester Bangau Daniel Guma, 30, yang berasal dari Kampung Tapang Maong, Balai Ringin, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Hakim Afidah Abdul Rahman memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada Ahad lalu (11 Disember).

Mengikut pertuduhan, dia sengaja melakukan perbuatan khianat dengan niat menyebabkan kerosakan harta benda sebuah meter utama Sesco hingga menyebabkan kerugian RM1,000.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah bangunan flat Taman Sepakat Jaya, Demak Laut, di sini, kira-kira jam 3 pagi, 11 Disember lalu.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan jiran baru pulang dari kerja melihat seorang lelaki yang dikenali dengan nama Bangau dalam keadaan tidak berpakaian sedang membakar meter elektrik utama di bawah tangga bangunan tersebut menggunakan sabut sofa.

Pengadu kemudian terus memaklumkan kepada suaminya lalu memadamkan kebakaran tersebut.

Selain itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pihak polis berjaya menahan tertuduh pada hari yang sama kejadian di bawah tangga bangunan tersebut sekitar jam 4 petang.

Barang-barang tertuduh turut dirampas seperti satu bungkusan bahan mudah terbakar iaitu sabut sofa.

Difahamkan, punca tertuduh melakukan perbuatan khianat itu tidak diketahui.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak