KUCHING: Memberi pendedahan, menambah baik dan membangunkan inap desa di rumah panjang di Sarawak antara menjadi tumpuan utama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Menterinya Datuk Tiong King Sing berkata, ia adalah perkara utama yang akan diberi tumpuan dan akan dibawa olehnya untuk negeri ini.

“Kita akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelancongan di Sarawak dan membawa pendedahan kepada inap desa rumah panjang di negeri ini.

ERAT… Datuk Tiong King Sing (tengah) merakam kenangan bersama-sama rakan media malam tadi.

“Ia bukan sahaja mempromosikan rumah panjang, malah turut mendedahkan budaya dan makanan masyarakat Iban di rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Malam Bersama Media Parti Demokratik Progresif (PDP) di sini, semalam.

Sementara, beliau merangkap Pengerusi PDP mengucapkan terima kasih kepada media kerana memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam tentang parti tersebut.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan bekerjasama dengan media untuk berkongsi idea membina pembangunan di Sarawak dan negara.

“Kita memerlukan semua orang untuk bekerjasama dalam membangunkan pelancongan Sarawak,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden PDP Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Presiden PDP Datuk Anthony Nogeh, Setiausaha Agung PDP Datuk Nelson Balang Rining dan Adun Krian Friday Belik.

Suara Sarawak