SUKAT…Petugas Pusat Kawalan Operasi Daerah Sarikei menyukat status air di jeti pekan Julau

KUCHING: Serian menjadi satu-satunya bahagian di Sarawak yang masih menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat jam 11 pagi hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak dalam satu kenyataan mengesahkan, dua PPS itu menempatkan seramai 141 mangsa banjir dan tanah runtuh.

Manakala katanya, 18 lagi PPS seluruh Sarawak telah pun ditutup.

“Salah satu PPS yang aktif adalah di Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi yang menempatkan seramai 84 mangsa banjir.

“Manakala satu lagi PPS di Serian iaitu Dewan Kampung Koran Mawang yang menempatkan seramai 57 mangsa tanah runtuh,” kata kenyataan itu.

Bagi laporan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) 2022 katanya, sebanyak 34 lokasi pemantauan dilaksanakan dengan kekuatan petugas seramai 56 orang dan 19 buah kekuatan logistik disediakan.

Hasil pemantauan katanya, status air di bahagian Samarahan, Miri, dan Mukah adalah meningkat.

Bahagian Serian, Kampung Baru Daro, Kampung Masjid Miri, jalan utama Tebaang Dao, Kampung Narum, Kampung Ridan, pekan Marudi, kampung Padang Kerbau, Kampung Long Tukon Trusan, Kampung Sundar, dan Pekan Sundar, Kampung Bakelalan adalah normal.

Manakala jalan Meling, jeti pekan Julau, jalan Rambai, Tebingan Jalan Ixora, jalan Cempaka, kampung Baru Kuala Berawan Limbang berstatus air surut.

PANTAU…Anggota JPAM memantau kawasan berisiko banjir di kampung Baru Kuala Berawan Limbang

Suara Sarawak