Datuk Seri Nancy Shukri melawat keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Suarah dan SK Kampung Baru, hari ini

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berpuas hati dengan keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Suarah dan SK Kampung Baru yang menempatkan mangsa banjir.

Kesemua mangsa banjir itu daripada Kampung Tanjung Bundong Lot Fasa 3, Kampung Plaie, Kampung Naie Baru dan Kampung Baru.

Beliau berkata, lawatannya ke PPS hari ini untuk melihat sendiri perkhidmatan yang diberi oleh kerajaan terutama sekali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Nampaknya semua berjalan dengan baik, lancar dan mangsa yang ditempatkan di PPS ini berpuas hati diberi makanan yang cukup dan kebersihan mereka dijaga.

“Ini yang kita harapkan..dan Insya-Allah mungkin mereka akan balik rumah masing-masing hari ini dan lebih banyak PPS yang akan ditutup bergantung kepada cuaca,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Dewan Suarah dan SK Kampung Baru Kota Samarahan, hari ini.

Justeru katanya, tempat lain yang akan dilawati hari ini juga mengharapkan perkhidmatan yang sama serta mendapat maklum balas yang sama daripada mangsa.

Dalam masa yang sama Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata JKM juga sentiasa bersedia dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir mahupun mangsq bencana bagi setiap negeri.

“Sesetengah kawasan, kita telah hantar bantuan bermula Oktober lagi, kerana kita menjangka semua ini (banjir dan bencana) akan berlaku. Bukan sahaja Sarawak tapi seluruh negara.

“Ia kerana kita takut apabila berlaku banjir, kita tidak dapat menghantar dalam masa yang singkat jadi semuanya sudah siap disediakan,” katanya lagi.

Sementara itu, Nancy juga memaklumkan bahawa kaunselor juga akan ditempatkan di PPS bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan emosi akibat bencana itu.

“Kaunselor kita memang sentiasa ada yang ditugaskan di PPS untuk memberi khidmat kaunseling kerana mungkin ada mangsa yang tak dapat menanggung emosi mereka seperti keluarga di Kelantan yang terkena renjatan elektrik,” ujarnya.

Datuk Seri Nancy Shukri melawat keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Suarah dan SK Kampung Baru, hari ini

Suara Sarawak