KUCHING: Seorang bekas prebet tentera dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan merompak wang berjumlah RM600 milik seorang gadis di hadapan sebuah kedai farmasi menggunakan sebilah pisau lipat, Mac lalu.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman terhadap pesalah muda berusia 20 tahun dari Melaka itu selepas menukar pengakuan bersalah semasa perbicaraan kes hari ini.

Afidah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 4 April lalu selain membenarkan tertuduh menjalani hukuman penjara di Melaka.

Samun tentera.. tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen 2 oleh anggota polis menuju ke bilik tahanan sementara mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak wang berjumlah RM600 milik seorang wanita berusia 22 tahun dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kedai farmasi, Batu 7, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 6 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama, sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak