KUCHING: Kerajaan Sarawak harus meliberalisasikan pengimportan simen dari luar negara, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen.

Chong berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan negeri meliberalisasikan pengimportan simen dengan membenarkan mana-mana pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan mengimport terus dari luar negara.

“Mereka dalam industri tersebut bukan sahaja boleh mengimport simen dari Thailand, tetapi mana-mana negara yang mempunyai kualiti simen yang lebih murah. Jangan terlalu banyak birokrasi dan pita merah dalam proses import.

Chong Chieng Jen

“Malah, memandangkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada dalam kabinet Persekutuan, adalah sangat mudah untuk meliberalisasikan pengimportan simen ke Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu, tindakan tersebut sekali gus tidak hanya membenarkan syarikat usaha sama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak(SEDC) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengimport simen.

“Langkah yang dicadangkan dengan hanya membenarkan syarikat SEDC dan BDA mengimport simen dari Thailand mungkin dapat menyelesaikan sebahagian masalah kekurangan simen tetapi dalam masa yang sama mewujudkan kos tambahan “orang tengah” kepada kontraktor tempatan.

“ Ini dalam istilah ekonomi, dipanggil “mencari sewa” dan untuk kerajaan menjalankan pencarian sewa, ia adalah paling tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Walaupun syarikat usaha sama yang dicadangkan ini mendapat keuntungan daripada pengimportan simen, keuntungan tersebut akan diserahkan kepada kontraktor tempatan sebagai kos tambahan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, peranan agensi kerajaan seperti SEDC dan BDA adalah untuk memudahkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi, bukan untuk menambah kos operasi perniagaan dan pembinaan kontraktor tempatan.

Suara Sarawak