BUAYA yang berjaya ditangkap dalam Operasi Bersepadu Jawatankuasa Konflik Manusia dan Buaya di Sungai Endot.

KABONG: Seekor buaya betina dengan panjang 2.9 meter telah berjaya dijerat oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (Swat) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Sungai Endot, Sabtu lalu.

Dalam kenyataan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), reptilia berkenaan ditangkap dalam Operasi Bersepadu Jawatankuasa Konflik Manusia dan Buaya yang turut dibantu Pejabat Daerah Kabong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, Balai Polis Kabong serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok.

“Operasi mengurangkan populasi buaya dimulakan sejak 12 Disember lalu di Sungai Krian yang diketuai Swat SFC Wilayah Sibu.

“Kita bertindak atas beberapa aduan penduduk yang mendakwa haiwan peliharaan sering hilang dipercayai menjadi mangsa buaya apabila kelibat sang bedal itu sering kelihatan di Kampung Hulu Laut jika air pasang,” katanya, semalam.

Jelas kenyataan itu lagi, operasi bersepadu ini selaras dengan Pelan Pengurusan Buaya Muara, yang termaktub di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan diluluskan oleh Pengawal Hidupan Liar Sarawak.

Sehubungan itu, pihak SFC menyeru orang ramai agar tidak bertindak terburu-buru jika berhadapan situasi sama pada masa hadapan.

Kerjasama daripada semua pihak juga amat dialu-alukan agar tindakan bagi menangani isu-isu berkaitan hidupan terlindung atau liar, dapat diambil secara berhemah dan mematuhi etika.

Daftar di —->https://stssapp.com/

Suara Sarawak