Awang Tengah (kiri) bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh (kanan) menunjukkan dokumen ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar sempena persidangan DUN di sini, hari ini.

KUCHING: Burung Empuruk Boyak atau Barau-barau (Pycnonotus zeylanicus) telah disenaraikan ke Apendiks I CITES dan Burung Murai Batu (Kittacincila malabarica) dalam Apendiks II CITES.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia hasil peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam ‘Conference of The Parties to the Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Flora and Fauna’ (CITES CoP19) di Panama pada 25 November 2022.

“Penyenaraian ini bertujuan mengelakkan spesies burung ini daripada ancaman kepupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu menambah untuk memastikan hidupan liar dan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) terpelihara, SFC giat melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan.

Katanya dari 2020 sehingga September 2022, terdapat sejumlah 252 kes berkaitan kesalahan TPA dan hidupan liar.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27 kes telah dibawa ke Mahkamah dengan sejumlah RM82,175,750 denda telah dikenakan dan seramai 28 orang pesalah telah dijatuhkan hukuman penjara termasuk pesalah yang gagal menjelaskan denda yang telah diperintah oleh mahkamah.

“Selain itu, sejumlah RM304,250 telah dikutip hasil daripada 110 kes yang telah dikompaun sementara sejumlah 115 kes masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Suara Sarawak