SAMBUT…Uggah (tiga kanan) bersama-sama timbalan kementerian MIPD, Majang (empat kanan), Aidel (dua kanan) serta yang lain memotong kek Krismas di majlis perhimpunan tahunan dan makan malam Krismas MIPD

KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa pelabuhan di Sarawak dijangka mengalami cabaran besar tahun hadapan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, hal ini kerana kementeriannya telah diperuntukkan bajet sebanyak RM795.7 juta bagi melaksanakan pembangunan dalam infrastruktur tanah, sungai serta bangunan kerajaan dan awam.

“Oleh itu, kita semua perlu bersedia menyingsing lengan baju untuk memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Ini adalah sebahagian daripada sumbangan anda kepada pembangunan negeri serta sebagai tanda sokongan terhadap agenda Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan tahunan kementerian dan Majlis Makan Malam Krismas, semalam.

Uggah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan itu berkata, semua pegawai berkemungkinan perlu meletakkan waktu pejabat yang lebih panjang.

“Ia bagi menyusun strategi dan menyelaras perancangan dan jadual pelaksanaan supaya peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya tahun depan.

Terdahulu, perhimpunan turut dihadiri dua timbalannya, Datuk Majang Renggi
dan Ir Aidel Lariwoo serta wakil pihak berkuasa pelabuhan Kuching, Rajang, Tanjung Manis, Miri dan Samalaju.

Suara Sarawak