KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di hadapan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencederakan jirannya menggunakan sebatang besi selepas berang ditegur ekzos motosikal yang digunakannya terlalu bising.

Tertuduh berusia 18 tahun merupakan pesalah muda, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pada 19 Januari 2023 bagi pendengaran laporan sosial pesalah muda itu sebelum dijatuhkan hukuman.

Selain itu, mahkamah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM800 berserta seorang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 25 tahun menggunakan batang besi.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah bangunan flat di Taman Sepakat Jaya, Demak Laut, kira-kira jam 5.30 petang, 25 April lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Suara Sarawak