KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menumpukan usaha untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri ini.

Justeru, beliau mengalu-alukan gesaan Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang yang baru-baru ini memintanya mendapatkan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi menangani isu tersebut.

“Saya akan memperjuangkan lebih banyak dana bagi projek tebatan banjir di Sarawak dan ia akan dibahas apabila Parlimen bersidang semula pada Februari tahun depan.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

“Saya tidak berfikir dua kali untuk memperjuangkan sesuatu demi kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, dalam memperjuangkan lebih banyak peruntukan, beliau juga menggesa Lo, yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk menyiapkan lebih banyak butiran dan dokumen untuk membahaskan isu itu secara berkesan di Parlimen.

“Ini termasuk keseluruhan perancangan dan projek mitigasi atau program bagi kawasan Kuching atau MPP, peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak dan persekutuan sejak 2018 serta pelaksanaan dan kemajuan projek-projek ini,” ujarnya lagi.

Jelas Ahli Parlimen Stampin itu juga, perjuangan bagi mendapatkan dana ini perlu mendapat sokongan penuh daripada semua pihak kerana banjir kilat di beberapa kawasan bandar merupakan isu yang sudah lama dan sering berlaku ketika hujan lebat.

“Banyak kawasan perumahan dan beberapa lokasi di bandar akan dinaiki air, setiap kali hujan lebat dan ia menjadi isu utama dan kebimbangan penduduk yang tinggal dan bekerja di kawasan bandar.

“Oleh itu, saya akan menulis surat kepada MPP hari ini dan melawat pejabat itu pada 3 Januari depan, untuk meminta semua dokumen serta butiran yang diperlukan.

“Hanya dengan memiliki semua fakta dan angka, katanya, saya yakin boleh berdebat dengan berkesan dan memperjuangkan lebih banyak dana untuk projek tebatan banjir di Sarawak,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak