Nanta (dua kanan) diberi penerangan mengenai simen dan bahan untuk untuk membina rumah menggunakan kaedah 3-D Printed oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) Chai Tze Khang (kanan). Turut kelihatan Pengerusi CIDB Ir. Yusuf Abdul Wahab (tiga kiri), Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid (dua kiri) dan lain-lain.

KUCHING: Kemudahan yang disediakan di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mampu melahirkan tenaga kerja yang mahir kelak, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Menteri Kerja Raya itu, mereka yang menceburi bidang melalui program disediakan di CIDB bukan sekadar masuk (belajar) begitu sahaja, tetapi memantapkan kemahiran peserta dan pelajar.

Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan senarai kemahiran yang disediakan di institusi tersebut seperti program kejuruteraan elektrik, kejuruteraan awam dan sebagainya.

“Malah, saya juga difahamkan bahawa sijil yang dikeluarkan diiktiraf dan bertaraf antarabangsa.

“Justeru, kita mempunyai kualiti bukan sekadar kuantiti, Ini yang penting bagi kita menyediakan ekonomi untuk masa hadapan,” katanya ketika menghadiri lawatan ke Pusat Konvensyen CIDB, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta turut mengadakan lawatan kerja di lokasi tersebut untuk melihat dan memahami apa-apa yang disediakan di CIDB.

Katanya, pelbagai peralatan yang canggih ada di sini untuk digunakan dalam industri pembinaan yang semestinya dapat meningkatkan tahap perkhidmatan yang diberikan oleh CIDB.

Selepas menyaksikan pembinaan bangunan menggunakan teknologi canggih Teknologi Pencetakan 3 Dimensi di sekitar kawasan institusi tersebut, Nanta menjelaskan bahawa ia mampu memberi nilai tambah kepada industri pembinaan.

“Dengan adanya teknologi sedemikian, kita dapat mempercepatkan kerja-kerja pembinaan dan memperhalusi kerja-kerja dengan lebih baik dan bermanfaat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap dalam sidang media.

Suara Sarawak