KUCHING:  Rakyat Sarawak khususnya yang meraikan Hari Krismas diingatkan untuk menyambutnya dengan berhati-hati memandangkan negeri ini masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, masyarakat negeri ini harus mengambil iktibar daripada yang berlaku kepada China apabila kes-kes positif di negara itu kini melonjak naik semula.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), saya mengabaikan tanggungjawab jika gagal untuk mengingatkan rakyat bahawa dalam apa jua majlis kegembiraan dan kemeriahan yang kita raikan, marilah terus berhati-hati.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

“Amalkan penjagaan kesihatan yang baik. Kebangkitan semula kes positif di China adalah pengajaran terbaik.

“Oleh itu, mari kita meraikan perayaan dengan penuh tanggungjawab bagi mengelak daripada mengubah perayaan ini menjadi kesedihan di kemudian hari,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2022, hari ini.

Tambahnya, malah Pakar Kesihatan Dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dr David Perera sentiasa mengingatkan mereka yang mempunyai komorditi dan belum mendapat suntikan vaksin supaya dilindungi.

Beliau dalam pada itu mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada mereka yang meraikannya dan terus menegaskan komitmen terhadap keharmonian, toleransi serta perpaduan yang ada dengan mengunjungi rumah terbuka masyarakat Kristian.

“Marilah kita berdoa kepada Tuhan kita masing-masing untuk keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan dan membolehkan kita semua melakukan dengan baik sama ada dalam kesihatan, pelajaran, perniagaan, pekerjaan dan apa sahaja usaha kita,” tambahnya.

Suara Sarawak