KUCHING: Keadaan cuaca di Sarawak dijangka beransur baik, kata Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Menurutnya, ia berdasarkan analisis model-model cuaca, satu sistem cuaca bertekanan rendah telah terbentuk di Laut Sulu pada hari ini, 24 Disember dan seterusnya dijangka bergerak merentasi Sabah.

“Keadaan ini boleh meningkatkan kelajuan angin dan intensiti hujan di berapa kawasan di Sabah. Manakala cuaca di Sarawak dijangka beransur baik.

“Luruan monsun yang sedang berlaku sehingga 27 Disember ini pula berpotensi membawa angin kencang dan ombak besar di Laut China Selatan, perairan pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, MetMalaysia telah mengemaskini amaran hujan berterusan yang kini melibatkan utara Sarawak dan Sabah sehingga 26 Disember 2022.

“Amaran hujan lebat berterusan peringkat waspada dikeluarkan bagi beberapa kawasan di utara Sarawak mulai hari ini.

“Amaran tahap kuning itu melibatkan Bahagian Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang,” ujarnya.

Sementara katanya, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan dan perairan Laut Sulu sedang berkuat kuasa sehingga 27 Disember ini.

Suara Sarawak