KUCHING: Aduan tiga gangguan bekalan elektrik setiap seminggu membongkar aktiviti kecurian elektrik yang digunakan untuk jenayah perlombongan mata wang kripto di Kota Samarahan.

Sarawak Energy dalam kenyataan berkata, perlombongan mata wang kripto menggunakan jumlah elektrik yang besar berikutan server perlu berjalan tanpa henti dan memerlukan sistem penyejukan untuk mengelakkan terlalu panas.

“Maka, pemasangan tidak mengikut standard digunakan dalam kecurian elektrik, yang mana aktiviti intensif tenaga sedemikian boleh membebankan kapasiti sistem elektrik.

SEBAHAGIAN server yang dirampas dalam serbuan Sarawak Energy dan polis di Kota Samarahan.

“Dan kita mengesyaki aduan tentang tiga gangguan bekalan elektrik di kawasan itu dalam tempoh seminggu, selain pemerhatian bacaan beban elektrik yang luar biasa mendorong serbuan dilakukan.

“Hasil serbuan Sarawak Energy dan polis, dua pusat perlombongan mata wang kripto telah ditangkap mencuri elektrik,” katanya.

Jelasnya, seorang penjaga yang berada di salah sebuah premis ketika serbuan itu ditahan polis.

PENYAMBUNGAN terus untuk mencuri bekalan elektrik di salah sebuah premis yang digunakan untuk perlombongan mata wang kripto di Kota Samarahan.

“Siasatan awal mendedahkan bahawa penjaga terbabit diupah oleh pengendali untuk menyelia aktiviti perlombongan. Laporan polis dibuat dan semua pihak yang terlibat akan disiasat lebih lanjut.

“Sebanyak 38 server serta kabel penoreh terus digunakan. Kesemua pelayan, gajet elektronik, kabel paip terus dan meter elektrik dirampas sebagai bahan bukti,” ujarnya.

Kata kenyataan itu lagi, Sarawak Energy kerugian kira-kira RM24,000 sebulan akibat kecurian elektrik.

“Mencuri elektrik merupakan tindakan berbahaya dan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik, yang boleh membawa hukuman sehingga RM100,000 dan/atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan,” tambahnya.

Suara Sarawak