DBNA transformasi usahawan digital Bidayuh

KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) kini dalam usaha mentransformasikan usahawan digital dalam kalangan masyarakat Bidayuh.

Pengerusi DBNA, Datuk Ik Pahon Joyik berkata komitmen itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Zon Ekonomi Perdagangan Pelaburan Asia Pasifik (Asiapez).

“DBNA akan terus memainkan peranan sebagai platform untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Bidayuh melalui kerjasama dengan agensi kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan sebagai salah satu cara untuk bergerak ke hadapan,” kataya.

k Pahon (depan, kiri), Lee (depan, kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani dan disaksikan Joseph Jindy (baris kedua, kiri) dan Dr Mazlan (tengah).

Beliau berkata demikian sempena upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi Usahawan Digital antara DBNA dengan Asiapez di Dewan DBNA di sini, malam tadi.

Manakala, Naib Presiden Asiapez Datuk Seri Eric Lee berkata MoU itu akan membawa transformasi digital kepada masyarakat dan Sarawak secara keseluruhannya.

“Asiapez dan DBNA percaya bahawa pemeteraian MoU ini adalah permulaan yang baik bagi kedua-dua pihak untuk menggalakkan transformasi pendigitalan,” katanya.

Asiapez adalah platform untuk pertukaran perniagaan antarabangsa, dengan ahli perniagaan dan usahawan boleh berkumpul dan pada masa yang sama merekrut ahli.

Sementara, upacara itu menyaksikan Ik Pahon menandatangani MoU bagi pihak DBNA manakala Asiapez diwakili oleh Lee.

Upacara turut disaksikan oleh Presiden Persatuan Asiapez Dr Mazlan Ahmad, Naib Presiden DBNA Joseph Jindy dan QMIS Richwood Blacktech Flash Chew.

Suara Sarawak