SIBU: Seorang wanita berusia 44 tahun berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM152,050 akibat terpedaya dengan ‘Love Scam’.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pada malam tadi jam lebih kurang 8 malam, pihak polis telah menerima satu aduan yang dibuat oleh mangsa.

Menurut beliau, mangsa mendakwa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi Facebook sejak awal bulan September 2022.

“Pada 8 Oktober lalu, suspek tersebut menghubungi mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp dan memaklumkan memerlukan pertolongan kerana telah ditahan oleh pihak Imigresen KLIA iaitu kesalahannya membawa wang tunai (UK) dalam kuantiti yang banyak.

“Atas dasar percaya dan berasa simpati ke atas suspek, mangsa telah membuat kemasukan wang secara berperingkat ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan bayaran menolong kekasihnya,” jelas beliau.

Menurut Zulkipli, bermula dari tempoh 10 Oktober hingga 5 Disember lalu, mangsa telah melakukan transaksi sebanyak 27 kali kedalam dua akaun yang berbeza bagi membebaskan suspek daripada tahanan pihak Imigresen.

Jelasnya lagi, mangsa sedar dirinya diperdaya selepas meragui bayaran tersebut kemudian memaklumkan kepada rakannya dan tampil membuat laporan polis pada malam tadi.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM152,050.00,” kata Zulkipli lagi.

Sehubungan itu, beliau ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan dengan sindiket penipuan ‘Love Scam’ ini.

“Jangan mudah percaya akan pujuk rayu dari seseorang yang tidak pernah dikenali melalui media sosial.

“Selain itu, jangan terlalu mudah untuk membuat sebarang pindahan wang kepada individu yang hanya dikenali melalui media sosial, terutama kepada mereka yang tidak pernah yang berjumpa dengan anda,” ujar beliau.

Orang ramal boleh membuat semakan dengan Balai Polis terdekat atau membuat semakan http://semakmuke.rmp.gov.my, CCID infoline di talian 013-2111222, CCID response centre di talian 03-26101559/03-26101599, Facebook, Cybercrime Alert MP dan Pusat Response Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Suara Sarawak