Tertuduh (kanan) dibawa keluar oleh salah seorang jurubahasa Mahkamah Sesyen menuju ke bilik tahanan sementara mahkamah.

KUCHING: Gara-gara memiliki 107.2 gram nospan pada September lalu, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Dalie Sindu, 51, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama.

Sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalie yang berasal Kampung Semariang Jaya melakukan kesalahan itu di kawasan di bawah Jambatan Masja, Jalan Astana di sini sekitar jam 3.30 petang pada 15 September lepas.

Mengikut fakta kes, polis menahan Dalie kerana disyaki melakukan aktiviti berkaitan dadah pada hari kejadian.

Hasil pemeriksaan dia membawa 107.2 gram atau 730 pil putih disyaki racun jenis nospan di dalam sebuah botol plastik putih.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diringankan hukuman.

Namun Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman ​​Mutallib Mohamad Shariff memohon hukuman setimpal dikenakan kerana perlu mengambil kira berat kesalahan dan kes yang semakin berleluasa.

Suara Sarawak