Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa

KUCHING: Seorang pegawai perubatan lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencabul pesakit wanita di sebuah pusat perubatan di Kuching, semalam.

Timbalan Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, suspek, 28, ditahan pada hari sama kejadian kira-kira jam 5.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuching.

Menurutnya, mangsa, 34, mendakwa suspek telah mengambil kesempatan dengan mencabul kehormatannya ketika menjalani prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Jika disabit kesalahan membawa hukuman penjara selama tempoh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian atau kenyataan tidak tepat.

Tegasnya, ini bagi memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Suara Sarawak