KUCHING: Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah atlet Para Sukma Sarawak yang berjaya memenangi tiga pingat utama di temasya Sukan Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Ia berikutan pengagihan insentif daripada Kerajaan Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM364,000.

Jumlah tersebut untuk agihan pemenang pingat emas RM5,000, pemenang pingat perak RM750 dan pemenang pingat gangsa RM500.

CERIA….Sebahagian atlet Para Sukma Sarawak.

Penyerahan insentif tersebut telah disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah sempena Sambutan Hari OKU & Majlis Apresiasi Para Sukma 2022 Peringkat Negeri Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini, malam tadi.

Fatimah dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas keprihatinan menyediakan insentif kepada atlet Para Sukma yang berjaya memperoleh pingat pada temasya tersebut.

Menurut beliau, dengan pemberian insentif tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada atlet untuk terus fokus mencipta kecemerlangan dalam kejohanan lain pada masa akan datang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohamad Razi Sitam, Pemangku Setiausaha Tetap KPWK Zufar Yadi Brendon Abdullah, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak Noriah Ahmad dan Pengarah JWKS Salmah Jobli.

Suara Sarawak