KUALA LUMPUR: Empat gabungan politik memeterai perjanjian untuk membentuk persefahaman serta memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala Pakatan Harapan (PH), diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Perjanjian persefahaman itu turut ditandatangani Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) serta calon-calon bebas yang secara kumulatif membentuk dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.

Sekali gus menyaksikan kerjasama tersebut mempunyai sebanyak 148 kerusi, melepasi majoriti dua pertiga yang diperlukan sesebuah kerajaan yang akan memerintah selama lima tahun akan datang.

Antara inti pati perjanjian tersebut termasuk parti-parti tersebut bersetuju untuk menjunjung kebenaran yang utuh dan dengan penuh kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Perjanjian yang menggariskan 18 inti pati itu turut menekankan semangat kerjasama, kesetiaan kepada Persekutuan dan perkongsian kuasa secara adil di antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963, Laporan IGC dan Suratcara dilampir padanya di dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan-Perlembagaan Sarawak dan Sabah.

Sebuah Majlis Perundingan yang dianggotai oleh wakil-wakil yang diperakukan oleh parti-parti utama iaitu PH, BN, GPS, GRS dan WARISAN yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia juga akan diwujudkan.

Majlis ini berperanan untuk memastikan segala terma-terma yang dipersetujui dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan cermat dan teratur agar Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat beroperasi dengan stabil dan berkesan, tanpa menjejaskan dasar, polisi dan orientasi parti-parti yang bersetuju untuk membentuk kerjasama ini.

Keputusan PRU-15 menyaksikan PH menang (82), BN (30), GPS (23), GRS dengan enam (6), WARISAN dengan tigadan bersama-sama parti lain seperti PBM, KDM dan calon-calon bebas. Secara kumulatif kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PH, BN, GPS, GRS, WARISAN, PBM, KDM dan dua ahli Parlimen bebas telah mencecah 148 ataupun dua pertiga daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.

Majlis menandatangani permuafakatan itu menyaksikan setiausaha-setiausaha agung daripada gabungan parti menandatangani dokumen perjanjian dengan disaksikan pengerusi setiap parti.

Suara Sarawak