PRESIDEN SABA…Datuk Rahman Lariwoo.

KUCHING: Sebanyak empat kejohanan penting bakal dianjurkan Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) sepanjang tahun 2023.

Kejohanan terbabit mencakupi pelbagai peringkat. Antaranya Kejohanan Tinju Piala Belia Sarawak yang khusus untuk pelatih pusat tinju di seluruh negeri, dijangka berlangsung dari 13 hingga 26 Mac.

Berbanding tiga kejohanan berstatus kompetitif iaitu Kejohanan Tinju Terbuka Bintulu (2 hingga 28 Mei), Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak (7 hingga 30 Julai) dan Kejohanan Tinju Antarabangsa Sarawak, Piala Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (11 hingga 17 September).

Presiden SABA Datuk Rahman Lariwoo menegaskan, empat kejohanan terbabit antara yang berada dalam perancangan untuk dianjur sepanjang tahun 2023.

“Itu antara kejohanan terbesar yang bakal dianjurkan. Ia sekali gus disifatkan sebagai landasan terbaik untuk para petinju kita memperlihatkan kemampuan masing-masing serta platform mengenal pasti petinju muda berbakat,” ujar Rahman kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Rahman, selain kejohanan sedia ada penganjuran seperti kursus kejurulatihan dan kursus pengadil juga turut dilaksana sama.

Dalam pada itu, Rahman turut menyatakan, program kunjungan ke semua 11 buah pusat latihan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Suara Sarawak